Monday, October 12, 2009

SUSAH SANGAT KE NAK JADI BAIK?...

Aku selalu tertanya dan terfikir tentang manusia-manusia yang suka membuat kerosakan dan kejahatan di muka bumi ini...

Adakah mereka ini memang ditakdirkan begitu atau mereka memilih untuk hidup sebegitu? Adakah ini sebahagian dari kesalahan cara ibubapa mendidik anak atau sekadar sudah ditentukan sebagai insan insan terpilih yang hidupnya ditakdirkan sebagai ujian dan pengajaran kepada hamba-hamba Allah SWT yang lain?

Pelik tetapi benar... inilah hakikat yang perlu diterima.

Bagi mereka yang diuji dengan kesempitan hidup dan fenomena dimana persoalan antara hidup dan mati menjadi taruhan, aku mampu memahami kejahatan yang dilakukan walaupun tidak redha dengan perbuatan yang sedemikian..

Tetapi... bagi mereka yang dikelilingi dan dilimpahi kesenangan dan kasih sayang yang secukupnya, aku agak sukar untuk memahami perbuatan mereka... kenapa?

Peluang terbentang luas. Bantuan keliling pinggang. Kesihatan dan kesempurnaan tubuh badan diberikan secukupnya oleh yang Maha Esa untuk berusaha dan maju ke hadapan, tetapi mereka tetap dengan perbuatan mereka yang jijik dan kotor disisi manusia... apatah lagi di sisi Allah SWT.

Persoalannya... perlukah mereka ini diberi peluang untuk hidup di muka bumi ini? Kenapa manusia sebegini tidak diletakkan di bumi Palestin agar mereka belajar mensyukuri nikmat keamanan dan kedamaian hidup?

Inilah antara perkara yang terbenam di dalam benak fikiranku ketika ini... aku tertanya-tanya... dan tak mampu hendak mencari jawapan yang sebenarnya... aku cuba membantu, tetapi sekadar apa yang termampu...

Kepada insan-insan yang berkenaan yang mungkin terbaca dengan tulisan aku yang tidak seberapa ni (walaupun sangat ikhlas)... renung-renungkanlah diri kamu dan cubalah kembali ke pangkal jalan...

Tanya diri sendiri...

1. Dimanakah aku akan berakhir jika aku berterusan berkelakuan begini?

2. Selamatkah aku di dunia & akhirat dengan perbuatan aku ini?

3. Adakah insan yang akan menyayangi aku sekiranya aku tetap begini?

4. Apakah akibatnya jika aku tidak menyesali perbuatan aku ini?

5. Apakah balasan yang akan aku terima sekiranya aku tidak belajar mensyukuri dengan segala nikmat yang diberikan Tuhan selama ini?

Percayalah... belum terlambat untuk seseorang itu untuk memperbaiki dirinya apabila kesedaran itu timbul. Yang menjadi masalah adalah kepada mereka-mereka yang tak sedar-sedar diri ni... atau senang cakap, "tak sedar dek untung"...

Suka tak suka, ketahuilah tiada jalan singkat dan mudah untuk berjaya dalam hidup, apatah lagi di akhirat kelak. Jika di dunia pun engkau sudah dipandang hina, apakah kamu pasti dengan nasib kamu di akhirat kelak? Siapa yang akan membela kamu?

Ingatlah, walaupun aku bukan Ustaz, tetapi aku sentiasa berpegang kepada asas agama & kewujudan makhluk Adam di dunia ini. Hakikatnya, kita semua dilahirkan sebagai Khalifah Allah SWT dan sekiranya kita tidak mempersiapkan diri kita ke arah itu... tidak lain dan tidak bukan tiada maknanya hidup kita di dunia ini... dan sia-sia sajalah segala perbuatan yang disangka baik selama ini... apatah lagi perbuatan jahat...

Cuba tanya diri sendiri... Berapa lama lagi aku mampu hidup sebelum Allah SWT mengarahkan malaikat Izrail datang untuk merentap nyawa aku? 10 tahun? 5 tahun? tahun depan? bulan depan? minggu depan? esok? lusa? SubhanAllah... belajar belajarlah insaf...

Bersyukurlah banyak banyak jika engkau masih mampu bernafas dan boleh melihat mentari naik di ufuk timur dan terbenam di ufuk barat setiap hari... sesungguhnya kita tidak tahu waktu bila kita akan dijemput... maka gunakanlah peluang yang ada sebaik-baiknya sebelum kita mati... kerana hakikatnya kita semua akan kembali ke Alam Barzakh suatu hari nanti... suka tak suka itu adalah PASTI... yang membezakan hanya cepat atau lambat sahaja...

Kepada semua termasuklah diri aku sendiri, renung-renungkanlah sebelum terlambat... dan mulakanlah dengan pembersihan hati... buang segala perasaan hasad dengki dan salah sangka yang berselindung di sebalik bisikan iblis dan syaitan yang sentiasa ada disisi untuk memesongkan kita...
Sebaiknya mulakan dengan selawat sebanyak mungkin ke atas junjungan kita setiap hari, kerana selawat itu umpama air sejuk yang menjernihkan hati kita... diiringi dengan zikir zikir yang lain....
Kesimpulannya, pada aku banyak lagi perkara kebajikan & berfaedah (i.e belajar, buat bisnes, cari duit, tolong orang dsb) yang boleh kita lakukan sementara kita hidup selain dari kejahatan, kemungkaran dan kerosakan... jadi kenapa pilih jalan yang sesat?

Pokok pangkal pilihan ditangan kita sendiri... maka pilihlah jalan yang benar dan diredhai Allah SWT... kerana itulah sebaik-baik pilihan...
Kalau nak buat jahat juga, terpulanglah... tetapi bersedialah dengan segala malapetaka yang bakal menimpa... kerana yakinlah... setiap perbuatan itu PASTI ada balasannya...

Wallahualam...








No comments:

Post a Comment