Al kisah malam tadi aku bersama isteri keluar sebentar untuk menikmati hidangan roti canai , manakala aku pula memesan sepinggan roti nan bersama ayam tandoori. Memang sedap lebih lebih lagi aku yang belum makan malam sejak pulang dari Rawang petang tadi.
Sambil menunggu roti aku sampai, aku ternampak sekumpulan pemuda lebih kurang sebaya aku, dalam 6 orang sedang membelek belek sebuah laptop. Salah seorang sedang bercakap, tersenyum dan begitu yakin dengan apa yang diperkatakannya.
Aku tidak nampak apa yang tertera di skrin laptop tersebut dan tidak berminat untuk mencuri dengar apa yang dibincangkan (maklumlah bukan urusan aku pun), tapi nak dijadikan cerita, orang rumah aku pula yang nampak.
"Yang, i nampak macam graf forex you je", orang rumah aku berbisik.
"Ler ye ke, budak budak ni tengah bincang pasal forex la gamaknya ni", aku berkata perlahan. Sejenak itu aku terus memasang telinga ingin mendengar apa yang diperbincangkan.
Memang sah forex. Aku kagum dengan keyakinan 'brother' yang sedang memberi penerangan sambil beberapa kali menekan butang 'mouse' komputer riba tersebut, aku agak sedang menunjukkan pelbagai jenis graf dan indikator forex yang digunakan.
Dalam banyak banyak perkara yang diperkatakan, cuma satu saja yang aku kurang setuju.
"Senang je Man aku nak trading ni, aku ikut je signal yang ada. Tup tap tup tap, untung duit masyuk dalam akaun"
Wah, dalam hati aku berkata power betul brader ni. Macam main guli je bunyi dia menerangkan forex. Aku yang dah bertahun ni pun kengkadang menggelupur nak betul betul faham pergerakan pasaran. Tapi siapa tahu, mungkin dia memang power, manala tau kot kot aku boleh belajar dengan dia pula.
Setelah beberapa ketika memasang telinga, aku yakin yang brader ni rupanya tengah cari modal nak main forex dari member member dia. Patutlah beria sangat menerangkan. Dari reaksi kawan kawannya pula, aku rasa ada yang bagi brader ni duit suruh mainkan. Tak tau la berapa banyak.
Tapi apa apa pun, aku tak masuk campur. Setakat mendengar, itu pun yg sebenarnya tak patut. Cuma yerla, dah topik perbincangan tu sesuatu yang menarik perhatian, nak buat macam mana kan.
Untuk memendekkan cerita, pandangan aku cuma satu. Kalau baru baru nak belajar forex ni, janganlah pakai duit member untuk dilaburkan seolah olah kita betul-betul mampu untuk menghasilkan keuntungan bagi mereka. Kesian member kalau terkena. Walapun secara teknikalnya mungkin sesuatu yang bijak (sebab kalau hilang pun bukan duit aku), tapi perbuatan ini boleh dan akan merosakkan persahabatan. Maklumla perihal duit ni macam macam boleh jadi.
Lagipun ini bukan kali pertama aku dengar member pakai duit member nak main forex. Kalau sikit takpe, ader tu aku dengar labur sampai puluh puluh ribu suruh kawan uruskan, yang akhirnya ditimpa kerugian.
Punca utama cuma 1 : kurang ilmu. Yg lain tu termasukla kurang sabar, kurang disiplin dan perancangan rapi tentang pengurusan risiko.
Jadi biarlah kurang duit (jangan takde langsung) tapi jangan kurang ilmu. Ada ilmu boleh cari duit. Tapi kalau tiada ilmu, laburlah sebanyak mana pun, lebih lebih seminggu je boleh bertahan. Kalau tak percaya cubalah. Silap silap sehari dah habis.
Aku ni pun masih belajar. Nasihat aku kalau nak 'venture' dunia forex ni, cari sumber bacaan yg baik dan main dahulu akaun demo sampai betul betul faham dan bersedia, kemudian baru mula dengan akaun sebenar menggunakan wang sendiri.
Permulaan tak perlu besar, memadai dengan akaun mini atau mikro dan modal serendah 25 dollar. Broker tu pandai pandai lah cari. Boleh refer kat forum (contoh Nogold.com) kalau nak senang. Cuma kalau tanya aku, aku cadangkan fxdd atau fxcm dan mula dengan USD500 ke USD1000, itu pun kalau ada modal. Kalau tak, USD25 pun boleh dgn akaun fxcm micro. Main 1 pip = 0.10 dulu. Lepas tu sikit sikit besarkan posisi kita berdasarkan amaun ekuiti yang ada.
Yang penting perkasakan teknik kita dalam menawan pips pips yang ada dalam pasaran forex tu. Ada bermacam-macam teknik yang kita kena belajar & cari sendiri. Bila wang sudah berganda, tekniknya sama sahaja cuma kita gandakan lot kita dari mikro ke mini, dan kemudian mini ke standard. Ini yang dinamakan 'calculated risk' atau pengurusan risiko.
Hakikatnya, memang boleh buat duit (dengan banyaknya) melalui forex. Tapi kena ingat, pada masa yang sama kita juga boleh hilang duit (dengan banyaknya) jika tidak berilmu & berhati hati.
Pokok pangkal, tiada jalan singkat. Kalau nak buat, buat betul betul. Kalau nak 'gamble', pergi Genting, jangan main forex. Sebabnya banyak liku liku dan selok belok pergerakan asas (fundamental) dan teknikal pasaran yang perlu difahami sekiranya benar benar ingin berjaya. Kalau betul nak buat duit, jangan labur buta-buta. Kalau dah hilang tu buat sujud syukur je la, jadi beringatlah sebelum terkena. Itu sahaja pesanan ikhlas aku.
Apa apa pun, mamak ni punya roti nan memang best! Buurrrppp. Syukur Alhamdulillah (sambil tangan menyapu perut ;))
No comments:
Post a Comment