Tuesday, July 28, 2009

TERSENTAK, SEDIH... DAN INSAF...

26 Julai 2009.. Ahad jam 9 pagi. Seorang rakan kerja yang amat aku senangi, Mohd Effendi Tajuddin, 44, telah kembali ke rahmatullah akibat dari kemalangan motosikal berkuasa tinggi di KM 139, berdekatan Tol Chenor, Pahang.

Beliau menghembuskan nafas yang terakhir di tempat kejadian.

Innalillah...

Aku sangat tidak menyangka dengan pemergian Arwah pada usia yang masih muda meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak.

Aku terima berita ketika keluar membeli barang dapur di Jaya Jusco Ayer Keroh dan seketika aku mendapat SMS tentang musibah yang menimpa beliau, aku tidak berupaya menahan sebak dan tanpa ku sedari air mata berlinangan dengan sendirinya.

Kami tidaklah terlalu rapat tetapi kami pernah terbang & bersiar bersama di luar negeri ketika menghadiri sesi HAZOP di Reading pada bulan Februari 2007 untuk Projek yang masih dalam pembinaan ini. Tidak dinafikan, beliau merupakan seorang insan yang sangat peramah disamping kelengkapan kamera beliau yang sangat canggih. Kalau nak harapkan aku memang sekadar menggunakan kamera digital Olympus yang leper 2.0 megapixel sahaja ketika itu.

Aku tidak mampu untuk berkata apa, cuma sekadar hendak meluahkan rasa sedih dan simpati terhadap ahli keluarga beliau yang sememangnya berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Sabarlah dengan ujian ini jika ada diantara kamu yang membaca...

Fendi, walau pun kita tidak serapat mana, tetapi pemergianmu sangat sangat dirasai. Engkau adalah antara sebaik-baik insan yang pernah aku kenali...

Kami meratapi pemergianmu, tetapi kami redha. Kami insaf dan sedar tentang kejadian yang menimpa kamu adalah suatu peringatan kepada kami tentang betapa mudahnya jika Allah SWT hendak datang menjemput kita kembali... tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah SWT semata-mata...

Ya Allah, aku insaf... dan aku berdoa semoga roh Arwah ditempatkan di kalangan para solehah & syuhada Mu...

Al-Fatihah...

http://www.youtube.com/watch?v=z1WXYpj_x8Q

No comments:

Post a Comment